PADA Syaaban yang mulia ini, umat Islam digalakkan untuk menambah amal soleh masing-masing. Seboleh-bolehnya, jangan biarkan bulan ini berlaku begitu saja tanpa sebarang usaha untuk merebut segala keistimewaannya.
Dalam perkara ini, biarkanlah setiap perkara yang dilakukan itu kerana Allah. Memang tidak dinafikan, ada umat yang mahu merebut peluang dan keberkatan pada Syaaban, namun ada ketikanya amalan yang dibuat itu semata-mata kerana ingin bermegah-megah atau riak ataupun ikut-ikutan.Satu amalan yang mudah bagi kita laksanakan pada bulan Syaaban ialah memelihara tutur kata. Perkara ini sangat dituntut Islam, malah setiap perkataan baik akan diberikan ganjaran di sisi Allah.Inilah antara keindahan Islam. Segala yang baik akan mendapat balasan pahala manakala yang buruk mengundang dosa.Ada baiknya, selepas 10 hari berada dalam Syaaban ini, umat Islam menilai setiap amalan dan perlakuan, termasuk tutur kata mereka, dan bermuhasabah sejauh mana mereka sudah menghampiri keredaan Allah.Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredai Allah, dan dia tidak menyangka kata-katanya itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat tertentu, maka dicatatkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredaan-Nya hingga ke hari kiamat.“Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai Allah, dan dia tidak menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke satu tingkat tertentu, maka dicatatkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaan-Nya ke atas orang itu hingga ke hari kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi).Tutur kata baik diumpamakan mutiara yang disukai orang ramai dan meletakkan individu yang menuturkannya sebagai orang disenangi, disanjung, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk kebaikan.Perkataan tidak baik yang dikeluarkan dari mulut tidak ubah nilainya seperti najis. Tentunya orang waras tidak akan menyukai najis kerana ia dikaitkan dengan segala tidak baik dan hina. Jadi, begitulah pandangan kepada mereka yang menuturkan sesuatu perkataan tidak baik.Sabda Rasulullah, yang bermaksud: “Sesungguhnya, orang yang berkata-kata dengan kata-kata yang mentertawakan kawan yang duduk bersamanya, maka dia akan jatuh dengan kata-kata itu lebih jauh daripada bintang di angkasa.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya).Dalam masyarakat Melayu yang tinggi pegangan agama, mempunyai cara yang halus untuk memperkatakan perkara buruk. Nenek moyang kita mengajar menggunakan bahasa kias dan sindiran untuk menegur keburukan orang lain. Ini jelas menunjukkan pekerti orang Melayu begitu luhur seperti ditetapkan ajaran agama. Rasulullah menyatakan antara tanda keimanan kepada Allah ialah menjaga tutur kata. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata (perkara) yang baik atau (lebih baik) dia diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Untuk mengelak diri terperangkap dengan fitnah mulut, dalam banyak keadaan adalah lebih baik berdiam diri. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa suka selamat, maka hendaklah dia membiasakan diam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)Malahan, umat Islam sering kali diingatkan supaya jangan sekali-kali bersama atau menyertai kumpulan individu yang sering mengucapkan perkataan buruk kerana ditakuti terpengaruh.Ingatan itu dinyatakan dalam firman Allah, yang bermaksud: “Dan kami dulu (di dunia) selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya.” (Surah al-Muddasir, ayat 45)Malah, diperjelaskan larangan berada bersama orang yang sering memperkatakan perkara yang tidak benar kerana ditakuti turut membabitkan diri dengan keburukan.Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya, Allah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) dalam kitab (al-Quran) iaitu, apabila kamu mendengar ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan perkara lain, kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. “Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir dalam neraka Jahanam.” (Surah an-Nisaa’, ayat 140).
0 comments:
Post a Comment